Ambulan's Blog

Di Sini Bermulanya Ambulan Anda

Lawatan Lokasi Tanah Untuk Persatuan Kebajikan Pemandu

Pada jam 7.30pagi saya memulakan perjalanan ke rumah Hj Amin bin Hussin bagi mengambil beliau dan terus menuju ke Pejabat Daerah Dan Tanah Pekan bagi urusan tanah melibatkan Persatuan Kebajikan Pemandu-Pemandu Jabatan Kesihatan Negeri Pahang. Saya dimaklumkan oleh Naib Pengerusi iaitu En Mustafa bahawa saya selaku Setiausaha Persatuan Kebajikan dan juga Hj Amin selaku Bendahari dikehendaki untuk hadir ke Pejabat Daerah Dan Tanah Pekan. Ini bertujuan untuk membuat tinjauan lokasi tanah yang dipohon oleh Persatuan Kebajikan Pemandu.

Sepanjang dalam perjalanan menuju ke Pekan, saya bersembang dengan Hj Amin perihal Persatuan Kebajikan Pemandu. Rupa-rupanya urusan berkaitan dengan tanah ini telah pun dimulakan dari 11 Julai 2007 sewaktu Tuan Haji Othman Bin Ismail masih lagi menjadi Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu. Sebanyak 3 kali panggilan oleh Pejabat Tanah Dan Daerah berkaitan tanah telah dilakukan oleh jawatankuasa persatuan yang lalu. Namun berbagai-bagai masalah yg timbul iaitu fail tidak dijumpai, kemudian timbul pulak masalah dengan pegawai SO (Penolong Pegawai Tanah) bercuti. Dan akhirnya hari ini apabila SO baru mengambil alih fail permohonan kami.

Saya dan Hj Amin tiba di Pekan lebih kurang jam 8.25 minit pagi, terus kami menuju ke rumah Mantan Pengerusi yang lama, iaitu Hj Othman. Lagipun beliau yang banyak menguruskan hal ehwal tanah ini. Kemudian kami bertiga terus menuju ke Pejabat Daerah Dan Tanah Pekan bagi mengambil SO yang menguruskan fail berkaitan pemohonan persatuan. Sebaik sahaja tiba di Pejabat Tanah, kami terus menjemput En  Muhammad Hidayah Bin Ahmad iaitu SO dan pembantunya untuk sarapan pagi dulu sebelum menuju lokasi tanah yang terletak di Merchong, Mukim Bebar.

Lebih kurang jam 9.45 pagi kami semua tiba di jeti Merchong, kami semua terpaksa menunggu lebih kurang 10 minit bagi urusan sewa bot untuk ke seberang. Rupa-rupanya lokasi tanah adalah di sebuah pulau kecil yang berhampiran dengan Kuala Merchong. Saya agak ragu-ragu sedikit dengan lokasi tanah yang dipohon apabila tiada jalan darat untuk dilalui. Apakah tanah yang dipohon ini berkemampuan untuk menjana pendapatan Persatuan Kebajikan Pemandu? Sebaik sahaja kami semua tiba ke seberang iaitu lokasi tanah, rupa-rupanya perasan ragu-ragu saya tepat sekali. Permohonan Persatuan yang lalu melibatkan tanah sebanyak 2.02 hektar bersamaan lebih kurang 4 ekar, namun memandangkan lokasi tanah adalah berhampiran laut dan mengalami masalah hakisan, keluasan tanah apabila ditolak dengan rizab sungai dan rizab laut hanya tinggal tak sampai setengah ekar sahaja! Saya merasakan bahawa tidak berbaloi kalau Persatuan menerima tanah ini kerana dalam 3-5 tahun lagi tanah ini akan habis terhakis semuanya, bahkan pemandu bot yang kami sewa menyatakan bahawa pada musim tengkujuh air pasang akan membanjiri seluruh kawasan lokasi tanah. Ditambah pula dengan permohonan tanah ini baru dalam penilaian awal, entah bilalah akan diluluskan. Entah-entah tanah telah pun habis dihakis ke laut sebaik sahaja lulus.

Seterusnya kami semua menuju ke lokasi yang seterusnya yang terletak berhampiran jugak dengan lokasi pertama. Nampaknya lokasi yang kedua ini agak luas sedikit, iaitu lebih kurang 2 ekar sahaja lagi yang tinggal tidak dihakis ke laut. Namun ini bukanlah lokasi asal permohonan Persatuan, ini adalah lokasi yang bertindih antara fail lama dan fail baru. Apapun En Muhammad Hidayah masih perlu berbincang dengan Pegawai Daerah untuk menentukan lokasi sebenar yang diberikan kepada Persatuan. Nampaknya Persatuan perlu melihat kemungkinan untuk memohon tanah dilokasi yang lain. En Muhammad Hidayah memaklumkan bahawa Persatuan layak untuk memohon tanah sebanyak maksimum 50 ekar bagi tujuan perladangan. Saya sendiri mencadangkan kepada Hj Amin supaya membuat 1-2 lagi permohonan tambahan bagi lokasi lain, supaya tidak terlalu bergantung kepada satu pilihan sahaja. Apapun, perkara berkaitan dengan lawatan kami ini akan dibawa ke mesyuarat AJK Kebajikan untuk dibincangkan hala tuju pemohonan tanah.

16 Jun 2011 Posted by | Persatuan | , , , | Tinggalkan komen

Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Pemandu Jabatan Kesihatan Negeri Pahang

Pada 28 Mei 2011 yg lalu Persatuan Kebajikan Pemandu Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah mengadakan Mesyuarat Agung Dwi tahunan bertempat di Rumah Peranginan Persekutuan Cameron Highlands. Semangat untuk menghadiri Mesyuarat ini amatlah membuak buak dan tinggi sekali, maklumlah sejak saya bertukar ke kuantan, sudah hampir 4 tahun saya tak menjejakkan kaki ke Cameron Highlands.

Saya bersama sama 8 org pemandu dari PKD Kuantan menaiki Van Kia Pregio yang dipandu oleh saudara Alias, mula bergerak meninggalkan Kuantan dan menuju ke Tanah Tinggi Cameron Highlands pada jam 8.45 pagi. Kami memilih untuk mengunakan jalan Sg Koyan, Pos Betau dan terus ke Ringlet untuk ke Cameron Highlands. Lagipun masa perjalanan kami dapat dijimatkan lebih kurang 2-3 jam berbanding jika mengunakan jalan lama iaitu Btg kali, Tg Malim dan Tapah. Lagipun jalan Pos Betau ini tidaklah sempit dan mempunyai selekoh tajam berbanding dengan jalan Tapah.

Kami semua tiba di rumah peranginan persekutuan lebih kurang jam 1.30 petang, dan tanpa membuang masa terus daftar kehadiran dan mendapatkan bilik penginapan masing-masing. Cukup menarik kerana kami semua ditempatkan di asrama dan tidur di katil 2 tingkat. Betul-betul macam waktu kena kursus di Biro Tatanegara. Bagi yang sampai awal seperti kami semua maka, katil bawahlah yg menjadi pilihan. Sebaik saja selesai solat Zohor dan Asar yang dijamakkan, maka bermulalah aktiviti “jalan-jalan cari makan”.  Pada jam 6.30 petang kami semua tiba kembali ke rumah peranginan persekutuan bagi makan malam, maklumlah tempat sejuk di Cameron Highlands memang perut cepat rasa lapar. Menu makan malam nasi adalah nasi ayam bungkus yg dibawa khas dari Temerloh!

Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Pemandu Jabatan Kesihatan Negeri Pahang bermula pada jam 8.00 malam dengan urusan pendaftaran. Sebaik sahaja selesai dengan urusan pendaftaran, mesyuarat diteruskan dengan ucapan tuan pengerusi iaitu En Abdul Malik Bin Awang. Ucapan tuan pengerusi mengingatkan kepada semua ahli betapa pentingnya para pemandu kenderaan JKNP menjadi ahli dalam persatuan, Pengerusi juga menceritakan serba ringkas mengenai sejarah penubuhan persatuan kebajikan. Dan akhir sekali, Pengerusi juga menawarkan diri untuk terus menyandang jawatan yang disandang kini untuk bersama-sama berjuang untuk ahli dan persatuan walaupun beliau telah pun bersara.

Seterusnya mesyuarat diteruskan dengan pembentangan Minit Mesyuarat Agung Persatuan pada 2009 oleh setiausaha iaitu En Mustafa bin Awang. Tiada sebarang pindaan pada minit mesyuarat ini dan diteruskan pula dengan pembentangan penyata kewangan pesatuan bermula 1 januari 2009 – 31 disember 2010 oleh bendahari iaitu Tuan Haji Mohd Amin bin Husin. Seterusnya mesyuarat dibuka untuk sebarang usul tambahan. Hanya satu sahaja usul tambahan iaitu mencadangkan supaya elaun cuci kenderaan diwujudkan. Pengerusi menyatakan usul akan dibawa ke mesyuarat AJK yang bakal dilantik.

Seterusnya pemilihan Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebajikan Pemandu JKNP bagi sessi 2011 – 2013. Pemilihan jawatankuasa dilakukan secara undi angkat tangan. Penyandang Pengerusi persatuan En Abdul Malik b Awang menarik diri dari bertanding sebaik sahaja pertandingan jawatan Pengerusi melibatkan 3 penjuru antara beliau, En Uyup b  Abd Ghani dan En Mustafa b Awang.

Keputusan Jawatankuasa adalah seperti berikut :

  1. Pengerusi : En Uyup b Abd Ghani (Hosp Muadzam Sah)
  2. Timb Pengerusi : En Mustafa b Awang (PKD Kuantan)
  3. Setiausaha : En Hasrulnizam b Azmi (KK Jaya Gading)
  4. P. Setiausaha : En Arumugan a/l Aruchunan (PKD Raub)
  5.  Bendahari : Hj Mohd Amin b Husin (HTAA)
  6. P. Bendahari : En Idros b Sulong (HTAA)
  7. AJK : En Tajuddin b Jaafar (PKD Kuantan)
  8. AJK : En Halim b Hussin (Hosp Jengka)
  9. AJK : En Husin b Abd Rahim (KK Bandar Tun Razak)
  10. AJK : En Zafri b Ali (PKD Maran)
  11. AJK : En S. Santhirasagar a/l Sangunney (Hosp Raub)
  12. AJK : En Baharudin b Ahmad (Hosp Lipis)

Saya benar-benar terkejut apabila nama saya dicadangkan oleh Abg Din “En Tajuddin b Jaafar” apabila nama saya dicadangkan olehnya sebagai Setiausaha dan menerima sokongan sebulat suara tanpa pertandingan. Kecut hati saya apabila diamanahkan tanggungjawab ini yg tidak pernah saya terlintas untuk fikir. Bahkan saya tidak pernah menyandang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan lagi. Saya benar-benar harapkan kepada saudara saudara yg sudah lama dalam persatuan terutama En Mustafa iaitu Timbalan Pengerusi baru merangkap mantan Setiausaha lalu sudi memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada saya dalam menjalankan tanggungjawab yg telah diamanahkan oleh ahli kepada saya. Silalah kepada semua memberi teguran dan tunjuk ajar.

Mesyuarat tamat pada jam 11.30 malam dalam keadaan yg  sedikit hangat dan panas kerana isu  berkaitan insuran CIMB Aviva yg bakal dibentangkan pada esok hari dalam Mesyuarat Agung Kesatuan Pemandu Pemandu Kementerian Kesihatan Semenanjung Malaysia Cawangan Pahang. Memang panas waktu mesyuarat keesokkannya, maklumlah Presiden Kesatuan, Setiausaha dan Bendahari Agung dari pusat sendiri hadir. Dan keputusan yang dibuat pada keesokkan hari memang mengejutkan Presiden Kesatuan, Setiusaha dan Bendahari Agung. Bagaimana perjalanan mesyuarat yg panas esok? Tunggu…. Di Nurkilan akan datang.

Maklumat tambahan

  • Ahli yang hadir dalam mesyuarat agung menerima elaun kehadiran sebanyak RM20 sebagai tanda penghargaan.
  • Seramai 268 org pemandu yg menjadi ahli Persatuan Kebajikan
  • Yuran Keahlian hanya RM2 sebulan
  • Ahli Seumur Hidup RM50
Kelebihan Menjadi Ahli
  • Sumbangan Kecemerlangan Anak
  • Insuran Kelompok Secara PERCUMA
  • Sumbangan Kemasukkan wad
  • Sumbangan persaraan
  • Sumbangan Khairat Kematian

Saya selaku Setiausaha Persatuan Kebajikan Pemandu Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Baru menyeru kepada para pemandu kenderaan yang bertugas dengan JKNP negeri pahang supaya mendaftarkan diri sebagai ahli bagi faedah kita bersama. Sekiranya perlukan sebarang maklumat berkaitan Persatuan Kebajikan silalah hubungi saya ni 0179814210 saudara boleh juga memberikan terus post di sini sebagai maklum balas.

30 Mei 2011 Posted by | Persatuan | , , , , , | 7 Komen

Operasi Penutupan Premis Makanan

Lebih kurang yg 4.00 petang, saya menerima panggilan telefon dari PKD Kuantan untuk bertugas dalam Operasi Pemeriksaan dan Penutupan Premis bersama Unit Penguatkuasaan PKD Kuantan. Inilah pertama kali saya berpeluang bertugas bersama Unit Penguatkuasa dalan operasi penutupan premis makanan yg kotor. Saya dimaklumkan bahawa semua yg terlibat dengan operasi dikehendaki berkumpul di PKD Kuantan pada jam 8.00 mlm.

Tepat jam 8.00 mlm saya telah pun tiba di PKD Kuantan, betul-betul berhadapan dengan bangunan yang menempatkan Unit Penguatkuasa. Dari PKD Kuantan, kami semua akan bergerak sebanyak2 pasukan dengan menggunakan 3 buah kenderaan  dari PKD Kuantan. Sambil duduk berkumpul dan mempersiapkan fail dan barang keperluan operasi, saya cuba jugak mendapatkan maklumat lokasi premis yang akan diperiksa. Namun, PPKP Bad enggan memberitahu sehinggalah kami semua mula bergerak.

Lokasi pertama yang kami tujui adalah pejabat MPK di Benteng, ini adalah bertujuan untuk bergabung dengan pasukan dari MPK sendiri. Sebaik sahaja cukup semua kehadiran petugas, maka lokasi seterunya adalah Medan Selera SUKMA yang terletak berhampiran dengan East Coast Mall dan Flat Lapang Besar. Dalam banyak banyak premis makanan yang diperiksa di sini, hanya sebuah kedai sahaja yg mempunyai masalah kebersihan yang agak teruk. Boleh dikategorikan sebagai “kotor” dari segi penyajian makanannya.  Maka terpaksalah kami menutup premis ini untuk tempoh 14hari, tuan punya premis dikehendaki mempertingkatkan aspek kebersihan dan juga memastikan pekerja yg mengendalikan makanan, minuman dan bahan mentah berada dalam keadaan bersih dengan memakai kain apron, penutup rambut dan sebagainya.

Lokasi seterusnya yg kami tuju adalah di Jalan Wong Ah Jang, iaitu Restoran Sum Sum Ria. Di area inilah saya rasa benar-benar berdosa kerana terlalu banyak melakukan “maksiat mata”. Restoran ini terletak berhampiran dengan Kelab Malam dan Disko Dangdut dan macam-macam jenis pusat hiburan yang ada. Rata-rata hampir semua perempuan yang kami temui di kawasan ini memakai pakaian yang seksi dan terdedah auratnya. Nak tengok, takut maksiat mata… Kalau tak tengok, takut terlanggar pintu atau dinding. Namun apakan daya, kerana tugas terpaksalah kami semua menggagahkan diri untuk memeriksa premis di kawasan ini dalam waktu yang sama terpaksa mencuci mata.

Seterusnya kami menuju ke Restoran Teratai yang masih di kawasan yg sama. Lokasi restoran Teratai ini betul-betul disebelah Kelab Malam, dan setiap kali pintu kelab malam itu terbuka maka dapatlah mendengar suara wanita menyanyi lagu dangdut.  Rasa seronoklah pulak, sambil buat tugasan rasmi berpeluang pulak dengar awek menyanyi sambil berpakaian seksi. Namun ini semua adalah terpaksa oleh kerana tugas yang memerlukan situasi demikian. Kebersihan di Restoran Teratai tidak bagus, maka premis ini terpaksa di tutup untuk tempoh 14 hari, sehinggalah PPKP berpuas hati dengan tahap kebersihan.

Dan akhir sekali, kami menuju ke Restoran Hasmina Satu yang masih lagi di area Jalan Wong Ah Jang. Di sebelah kiri dan kanan restoran ini, terdapat dua buah pusat hiburan “kelab malam”. Yang paling menarik sekali, restoran ini mengunakan hiasan lampu yng tertulis “Allah” dan “Muhammad” di luar premisnya. Betul-betul di hadapan restoran ini, terdapat sebuah lagi kelab malam yang boleh tahan jugak pengunjungnya. Mujurlah kebersihan restoran ini tidak terlalu teruk, namun markah kebersihannya hanyalah cukup-cukup makan saja.

Tugas kami semua tamat lebih kurang jam 11.30 mlm, dan tanpa membuang masa terus balik ke PKD Kuantan. Saya terfikir bahawa Bandar Kuantan ini betul-betul hebat! Banyak sungguh kelab malam dan pusat hiburan, dan pengunjung yang ramai adalah lelaki melayu yang rata-rata umur dalam 30-60an. Gadis-gadisnya pula berumur antara 20-40an yang berpakaian seksi, dan sesekali tu terserempak jugak dengan wanita yang berumur 50-60an yang bergelar “mummy”. Berapa lama lagi agaknya maksiat akan terus berleluasa di Bandar Kuantan? Adakah kita semua akan duduk berdiam diri membiarkan maksiat ini berterusan tanpa ada sebarang usaha membanterasnya?

20 Oktober 2010 Posted by | Coretan | , , , | Tinggalkan komen

Program Penyeliaan Di Jerantut Dan Ulu Tembeling

Pada 22 September 2010 saya bersama Pakar Kesihatan Keluarga U54 Dr Iskandar Firzada dan PPP29 Fizi dari Klinik Kesihatan Pekan memulakan perjalanan menuju ke Klinik Kesihatan Jerantut dan Klinik Kesihatan Kuala Tahan. Kami semua tiba di Klinik Kesihatan Jerantut lebih kurang jam 10.30 pagi. Tugas pun penyeliaan dimulakan bagi memantau Jururawat Masyarakat terpilih. Selepas makan tengahari, perjalanan dimulakan ke Klinik Kesihatan Kuala Tahan. Kami tiba di Klinik Kuala Tahan pada jam 2.30 petang. Sewaktu sewaktu penyeliaan dijalankan, saya meluangkan masa bagi bersembang bual beberapa kakitangan di Klinik Kesihatan Kuala Tahan. Antara isu yang disembangkan adalah bagaimana perjalanan kami esok hari dengan menaiki bot untuk menuju ke 3 buah Klinik Desa iaitu di Kg Pagi, Kuala Sat dan Kg Mat Daling. Saya dimaklumkan bahawa perjalanan untuk menuju ke KD Mat Daling lebih kurang 4 jam jika keadaan air sungai besar, jika air cetek maka perjalanan akan berlarutan sehingga ke 6-8 jam.  Selesai segala urusan berkaitan di Klinik Kesihatan Kuala Tahan, kami terus menuju ke Woodland  Resort bagi berehat secukupnya sebelum perjalanan kami esok yang pastinya akan benar-benar mencabar.

Sarapan pagi kami adalah di resort, namun agak menarik dengan menu nasi dagang yang disediakan. Jarang sekali menjamu selera di hotel atau resort dengan nasi dagang. Lebih kurang ham 8.00 pagi kami semua tiba di jeti Kuala Kuala Tahan. Namun bot yang bakal kami naiki menghadapi sedikit masalah. Ini kerana bot tersadai di darat kerana masalah air surut, terpaksalah kami beramai ramai mengeluarkan kudrat untuk menolak kembali ke dalam sungai. Segala barang dan beg telah dimasukkan ke dalam bot, namun perjalanan masih belum dapat dimulakan. Kami perlu menanti  kakitangan dari PKD Jerantut yang akan memulakan berjalanan bersama kami menuju ke Kg Bantal. Perancangan asal adalah perjalanan akan dimulakan jam 8.00 pagi, namun sejam telah berlalu dan bayang mereka tidak kelihatan. Adakah sesuatu telah menimpa mereka? Akhirnya jam 9.17 minit pagi, barulah mereka semua tiba. Rupa-rupanya mereka terlewat angkara pokok petai yang tumbang di tengah perjalanan. Setelah meletakkan segala barang keperluan ke dalam bot maka pada jam 9.25 pagi maka perjalanan bot kami pun dimulakan.

Pada jam 12.16 tengahari kami pun tiba di Kg Bantal dengan selamatnya. Perkara pertama yang saya buat adalah mengeluarkan handphone,Menarik sekali ini kerana hanya penguna talian Maxis mendapat liputan. Maka seronok sungguh, ini kerana hanya saya seorang yang mengunakan Maxis. Dr Iskandar dan PPP Fizi mengunakan celcom, maka terpaksalah melihat skrin handphone tertulis No Coverage. Kami dimaklumkan oleh Botman bahawa setiap kampung yg kami tuju ada didirikan menara Maxis. Nampaknya kemudahan telefon di sini agak bagus.

Pasukan dari PKD Jerantut akan bermalam di KK Kg Bantal. Namun kami perlu turun untuk menaiki bot yang lebih kecil untuk perjalanan ke Klinik Desa Mat Daling. Perjalanan kami dimulakan semula lebih kurang 10 minit setelah tiba di Klinik Kesihatan Kg Bantal. Kami di jeti Kg Mat Daling jam 1.06 petang dan terus menuju ke Klinik Desa Mat Daling. Kami perlu berjalan kaki melalui kawasan sekolah untuk tiba di lokasi Klinik Desa.  Lebih kurang pukul 2.00 petang kami memulakan semula perjalanan menuju ke kg Bantal, sebelum itu kami dihadiahkan dengan buah rampai dan buah duku oleh jurawat masyarakat Klinik Desa Mat Daling. Perjalanan kami menuju ke Kg Bantal lebih mudah dan laju ini kerana hanya menuju ke hilir. Lebih kurang 25 minit masa yang diperlukan oleh tiba ke kg bantal berbanding 40 minit sewaktu mudik ke hulu bagi perjalanan yang sama.

Pada jam 3 petang kami tiba di Kg Kuala Sat, di sini tiada jeti dan terpaksalah kami semua turun terus ke dalam sungai. Jarak Klinik Desa lebih kurang 700 meter dari tebing sungai dan terpaksalah kami berjalan kaki. Sewaktu di Klinik Desa Kuala Sat, hujan turun dengan lebatnya . Maka saya meluangkan masa untuk ber SMS dengan isteri di rumah sementara menunggu hujan yang lebat agar reda sedikit. Sebaik sahaja hujan renyai-renyai perjalanan terus dimulakanmenuju ke Kg Pagi. Kami tiba di Klinik Desa Kg Pagi pada jam 5.30 petang. Nampaknya tiada papan tanda arah Klinik Desa di kawasan jeti, saya terpaksa  bertanya pada beberapa org anak kecil di sini arah klinik desa. Boleh tahan jugak jauhnya perjalanan kaki untuk menuju ke klinik desa, dan perlu mendaki bukit untuk tiba di depan Klinik Desa Kg Pagi. Di sini kami bertiga tumpang untuk solat khasar jamak takhir zohor dan asar sebaik sahaja tugas penyeliaan selesai. Tepat jam 6.40 petang kami semua menaiki bot dan mula bergerak meninggalkan jeti Kg Pagi. Lebih kurang jam 7.20 petang kami selamat tiba di jeti Kuala Tahan. Perkara pertama yang kami semua buat adalah mencari makanan, ini kerana tiada sebarang makanan yang masuk ke perut selepas sarapan pagi tadi. Selesai makan malam, kami terus menuju ke resort bagi berehat untuk perjalanan pulang ke kuantan esok hari.

Dr Iskandar, PPP Fizi dan saya benar-benar mengkagumi kakitangan kesihatan yang bertugas di pendalaman terutama Jururawat Masyarakat di KD Mat Daling, KD Kuala Sat dan KD Kg Pagi. Penghargaan jugak buat PPP, SN, JM, PPK di KK Kg Bantal dan KK Kuala Tahan. Terima kasih yang tak terhingga kepada PRA serta Pemandu Bot (Botman) di KK Kuala Tahan dan KK Kg Bantal. Namun anugerah dan pujian patut diberikan lebih buat PRA PKD jerantut, PRA KK Kg Bantal yang sanggup mengemudi bot walaupun mereka bukannya botman sebenar. Ini kerana botman sebenar masih lagi dalam pembelajaran lokasi sg tembeling yg agak lain dari yang lain dan rumit sedikit. Buat saya secara peribadi, mereka yang bertugas dipendalaman perlulah diberikan elaun yang lebih banyak lagi dari sekarang, dan penilaian SKT yang tinggi markahnya bagus untuk mereka semua. Dan rasanya tidak salah kalau mereka diberikan peluang untuk diberikan “cemerlang” lebih kerap daripada kakitangan yang lain.

27 September 2010 Posted by | Coretan | , , , , , | 3 Komen

Lawatan Ke Rumah Utk Program Juara Rakyat UMNO

Pada 11 April bersamaan hari Ahad, saya bersama 3 org kakitangan Klinik Kesihatan Jaya Gading telah diberikan tugas untuk membuat pemeriksaan pesakit dirumah. Mereka yang terlibat ialah Dr Noraini, PPP Azlan dan SN Medeline. Pemeriksaan ini akan dijalankan bersama sama dengan program Juara Rakyat UMNO yang bertempat di Taman Tas. Secara mudahnya kami dikehendaki bersama sama dengan Dato Seri Siti Zaharah dan isteri kepada YB Zaili iaitu ADUN Panching.

Mengikut senarai yang diberikan kepada kami, sebanyak 6 org pesakit akan dilawati. Hampir kesemua pesakit mengalami masalah stroke, dan seorang lumpuh akibat kemalangan. Lawatan dimulakan dengan pesakit di kawasan Taman Tas, diikuti dengan kawasan Chendering dan Lubuk Puyu.Turut serta bersama kali adalah wartawan dari Sinar Harian, bersama sama dengan kereta kancil rasmi sinar harian.

Sepatutnya kami hanya melawat sebanyak 6 buah rumah sahaja, namun pada saat-saat akhir sebuah rumah tambahan dimasukkan. Rupa-rupanya rumah itu melibatkan ahli wanita UMNO yang berusaha menjejaki pesakit pesakit sehingga beliau sendiri pun demam dan tak mampu untuk terlibat dengan program Juara Rakyat.

Semoga dilain kali lagi program yang seumpama ini dapat diadakan lagi, kalau boleh biarlah melibatkan berbagai bagai agensi kerajaan dan berbagai bagai pihak politik tanpa mengira BN atau pembangkang. Apapun, asalkan yang mendapat manfaat adalah rakyat Malaysia sendiri.

16 April 2010 Posted by | kempen | , , | Tinggalkan komen

Meminjam Kenderaan

Hari ini cukuplah 2 minggu Klinik Kesihatan Jaya Gading ketiadaan sebarang kenderaan untuk digunakan. Klinik Jaya Gading pemurah, sanggup meminjamkan ambulan kepada Klinik Kesihatan Balok bermula dari bulan ramadhan tahun lepasa sehinggalah sekarang ini, lebih kurang 5 bulan. Baru 2 minggu sudah Van jenis Ford Econovan pulak rosak dan masuk ke bengkel, sehingga sekarang masih belum siap, angkara masalah kelulusan pembaikan. Jadi untuk masa ini kami meminjam sebuah pajero jenis Ford Everest untuk urusan seharian.

Ford Everest ini pulak hanya diberikan pinjam pada hari Khamis dan Jumaat. Paling menarik, kenderaan baru mengalami kemalangan tragedi iaitu melanggar babi di area pantai sepat. Sementara waktu menunggu kelulusan untuk pembaikan, terpaksa bumper depan kenderaan diikat dengan tali, manalah tahu takut-takut bumper jatuh sewaktu berjalan.

5 Februari 2010 Posted by | Coretan | Tinggalkan komen

Operasi Pengemis Di Kuantan

Semalam 3hb Ogos 2009 saya, PPP Zaiyani dan SN Tengku diarahkan untuk terlibat dalam operasi bersepadu bersama MPK, Polis, imigresen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam operasi penangkapan pengemis dan kutu rayau. Selama saya bekerja dengan kementerian kesihatan, inilah kali pertama terlibat dalam operasi sebegini. Dalam hati ini tertanya-tanya bagaimana suasananya nanti apabila operasi mula dijalankan.

Taklimat operasi dimulakan pada jam 4.00 petang di bilik mesyuarat Jabatan Kebajikan Masyakat Kuantan. Kami semua dibahagikan kepada 2 pasukan yang akan ditugaskan ke lokasi tertentu. Saya, PPP Zaiyani dan SN Tengku berada dalam pasukan 1 dan akan melakukan operasi di bazar ramadhan mahkota square dan Bazar ramadhan balok. Manakala pasukan kedua akan melakukan operasi di bazar ramadhan stadium dan area bandar. Operasi dimulakan sebaik sahaja selesai sembahyang asar.

Lokasi pertama pasukan saya adalah bazar ramadhan mahkota square. Keadaan jalan yang sungguh sesak pada waktu orang sibuk pulang dari pejabat agak menyukarkan saya untuk parking kenderaan, maka saya terpaksalah menunggu sahaja dalam kenderaan dan tidak dapat turut serta dalam penangkapan pengemis. Di sini seorang pengemis berjaya ditangkap dan terus dimasukkan ke dalam kenderaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan terus dibawa ke pejabat JKM.

Seterusnya kami semua terus bergerak ke lokasi seterusnya iaitu bazar ramadhan balok. Kali ini saya dapat melihat sendiri bagaimana tangkapan dan ragam pengemis.
Di lokasi ini seorang pengemis yang sudah tua, mungkin dalam lewat 50an dan berkopiah serta berjanggut berjaya ditangkap. Sebaik sahaja ditangkap, terus pakcik tua tadi merayu seperti OKU yang bisu supaya dilepaskan. Namun, tugas tetap tugas. Tiada rayuan yang akan dilayan sehingga siasatan selesai. Pengemis tua tadi dimasukkan ke dalam kenderaan saya untuk dibawa terus ke pejabat JKM Kuantan.

Setelah siasatan dilakukan, rupa-rupanya pengemis tua yang berkopiah itu adalah warga thailand dan beragama budha! Memang tak sangka, dan hasil mengemis pakcik tadi berjumlah lebih dari RM250. Hanya dengan berbekalkan kopiah sahaja!

Nampaknya pengemis di Malaysia cukup bijak menyamar dan mengambil kelebihan atas kebaikkan rakyat Malaysia dalam bersedekah terutama dibulan Ramadhan ini. Dalam operasi semalam, pengemis yang ditahan seramai 4 orang dan hanya seorang yang benar-benar OKU iaitu cacat penglihatan. Paling menarik semalam ialah kehadiran seorang pemandu teksi ke pejabat JKM kerana ingin mengambil isterinya yang ditangkap kerana mengemis di bazar ramadhan. Kenapalah masih nak mengemis lagi sedangkan si suami bekerja sebagai pemandu teksi? atau adakah si suami turut serta?

Secara mudahnya sikap rakyat Malaysia yang pemurah dan suka bersedekah telah diambil peluang oleh segelintir masyarakat untuk mencari jalan mudah dengan mengemis. Bahkan warga asing juga mengambil kesempatan. Bagi sesiapa yang mencari jalan mudah tanpa perlu berusaha maka mengemis adalah pekerjaan yang menguntungkan. Operasi semalam memberikan pengalaman baru buat saya supaya tidak mudah bersedekah secara melulu, terutama kepada pengemis di bazar ramadhan dan pasar malam. Rasanya lebih baik sekiranya saya bersedekah terus kepada orang kampung yang saya lebih kenal dan memerlukan bantuan.

3 September 2009 Posted by | Uncategorized | | 2 Komen

Pasukan Bertugas Bagi Saringan H1N1 Di Airport Kuantan

Hari ini maka bermulah tugasan pertama kakitangan Klinik Kesihatan Jaya Gading untuk melakukan saringan terhadap penumpang penerbangan terus dati taiwan ke kuantan. Ini juga merupakan penerbangan yang pertama, selepas ini setiap 4 hari sekali, penerbangan yang sama akan tiba. Pada hari ini penerbangan dijadualkan tiba jam 1.15 tengahari, namun kami semua dikehendaki berada di airport sejam lebih awal. Jadi kami semua berkumpul lebih awal di Klinik Kesihatan Jaya Gading lebih kurang jam 11.30 pagi.

Bagi tugasan ini, pasukan perubatan diangotai oleh seorang Pegawai Perubatan, seorang Penolong Pegawai Perubatan, seorang Jururawat Terlatih, seorang Jururawat Masyarakat dan seorang pemandu. Hanya dua buah klinik kesihatan yang di khususkan bagi tugas saringan ini, iaitu Klinik Kesihatan jaya Gading dan Klinik Kesihatan Gambang. Untuk hari ini giliran pertama adalah kepada Pasukan Perubatan Klinik Kesihatan Jaya Gading.

Bagi hari ini, seramai 103 penumpang telah diperiksa dan semuanya disahkan tiada tanda-tanda demam, batuk dan sebagainya. Lagipun setakat hari ini negara Taiwan adalah dikategorikan sebagai negara aktif H1N1. Kami semua diingatkan supaya berhati-hati dengan penumpang yang datang dari negara-negara kategori local H1N1.

Kerja saringan dijalankan dengan cukup lancar dan teratur sekali. Cuma rasa panas dan rimas menyelubungi apabila setiap dari kami semua wajib memakai pakaian khas. Namun terpaksa juga, maklumlah mencegah lebih baik dari mengubati. Pakaian yang paling teruk dan panas ialah yang di pakai oleh Dr Boi Saidi, sampai kan saya sendiri yang kena pakaikan dan ikatkan untuk beliau. Panas? memang panas!

Memandangkan tiada kes yang dikesan, maka alhamdulilah tugas hari ini setakat itu sahaja. Namun jika ada yang menunjukkan tanda-tanda H1N1, maka tugas kami akan jadi agak berlainan. Kami semua berdoa supaya janganlah kes mendapat kes H1N1, teruk nanti kerja kalau ada.

20 Jun 2009 Posted by | H1N1 | , , | 2 Komen

Lama sudah tak menulis

Rupa-rupanya sudah 2 bulan saya tidak menulis blog ini. Hari ini baru tergerak untuk menulis semula. Keadaan Klinik Kesihatan Jaya Gading biasa sahaja, cuma sejak H1N1 menular. Beberapa perubahan telah dialami, termasuklah dengan pembukaan kaunter saringan dan juga lalun khas untuk suspek. Setakat ini, alhamdulillah masih belum ada lagi pesakit yang disuspek atau dikuaratin. Semua kakitangan Klinik Kesihatan Jaya Gading juga dikehendaki mengambil suntikan vaksin untuk INFLUENZA. Vaksin ini hanya sekadar untuk mengurangkan risiko sahaja.
Harap H1N1 tidak akan terus menjadi jadi dan menular sehingga sukar dikawal. Semoga allah melindungi kita semuaH1N1

13 Mei 2009 Posted by | Uncategorized | | 1 Komen

Klinik Sedang Diubah Suai

Setakat hari ini sudah hampir 3 minggu kerja-kerja mengubah suai dijalankan di Klinik Kesihatan Jaya Gading. Kerja tmengubah suai melibatkan jalan tar di dalam kawasan klinik yang diturap baru. Termasuklah pembinaan Klinik Methahon atau mudah nama Klinik Dadah Untuk Penagih. Kaunter Pesakit Luar juga akan diubah suai untuk dijadikan bilik rawatan. Manakala kaunter baru akan diwujudkan di dalam klinik bahagian hadapan dalam suasana terbuka. Kaki lima depan klinik juga terlibat dengan mengubah suaian juga. Dan, keseluruhan klinik di cat semula dengan warna baru.

Diharap selepas ini kakitangan Klinik Kesihatan Jaya Gading dapatlah kiranya bekerja dalam suasana yang ceria, seiring dengan Klinik Jaya Gading yang berwajah baru. Klinik Kesihatan Jaya Gading juga menerima Mohd Rahman yang bertugas sebagai Pembantu Am Pejabat yang baru. Perjawatan ini baru diwujudkan di klinik bagi memudahkan kerja pembantu tadbir yang sentiasa sibuk memanjang. Diharap Klinik Jaya Gading akan ceria dan mesra pelanggan selepas ini.

17 Mac 2009 Posted by | Coretan | , | 2 Komen

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.